Tuesday, October 25, 2011


Biar saya kongsikan satu cerita menarik yang baru saya baca sebentar tadi. Kisah Bonsai dan Sequoia iaitu dua jenis pokok.
Tentu kita sudah mengenali pokok bonsai. Pokok yang begitu popular ini berasal dari Jepun. Bonsai memang cantik dan indah, dibentuk dengan sempurna dan hanya berukuran beberapa sentimeter.




Sequoia pula ialah pokok raksasa yang ditemui di California. Salah satu pokok raksasa ini diberi nama General Sherman. Ketinggiannya mencapai 90 meter, menjulang menembusi ruang udara dengan ukurlilit batangnya ialah 26 meter. General Sherman ini begitu hebat sehingga jika ia ditebang akan menghasilkan kayu yang cukup untuk membina 35 buah rumah dengan lima bilik.
Sebenarnya kedua-dua pokok ini berasal dari biji benih yang lebih kurang sama saiz dan beratnya. Ketika pokok bonsai mula tumbuh, orang Jepun mencabutnya dari tanah dan mengikat akar pokok dan batangnya. Ini akan membantutkan pertumbuhan pokok tersebut dan hasilnya ialah pokok bonsai yang cantik.


Berbeza pula dengan pokok sequoia. Biji benihnya jatuh ke tanah California yang subur. Ia mendapat cukup baja dan keperluan asas seperti mineral, air hujan dan sinaran matahari. Ia tumbuh membesar menjadi pokok raksasa.


Proses pertumbuhan dan tumbesaran kedua-dua pokok tersebut bukanlah sesuatu yang luar biasa tetapi kisah di sebalik perbezaan ukuran dan saiz kedua-dua pokok tersebut memberi pengajaran kepada kita. Samada bonsai atau sequoia, kedua-duanya tidak punya pilihan dalam menentukan nasib masing-masing.Namun tidak demikian dengan manusia. Kita mampu dan mempunyai hak untuk memilih. Kita boleh memilih untuk menjadi seorang yang "KECIL" atau menjadi seorang yang "BESAR". 

Pilihlah samada ingin menjadi BONSAI atau GENERAL SHERMAN. Cara kita berfikir dan cara kita memandang kepada diri sendiri akan menentukan siapa kita sebenarnya. Untuk itu kita punya pilihan!

Pilihan belajar bahasa melayu.........JOMMMMMMMMMMMMMMM......